Corporate

Investment

Entrepreneur Development

Funding

Talent Development

Produk Berasaskan Sarang Burung Premium Bernilai RM25 Juta Setahun Bakal Dikeluarkan Dari Pusat Bioteknologi Glyken di Johor

Iskandar Puteri, 29 Jun 2024 – Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan kemudahan bioteknologi baru syarikat Glyken International Berhad (Glyken) di Iskandar Puteri. Pembukaan dan perasmian pusat ini akan menjadikan Negeri Johor bakal penyumbang utama kepada pertumbuhan industri sarang burung walet di Malaysia.  

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang, “kemudahan canggih sebesar 29,220 kaki persegi itu berjaya dibangunkan hasil daripada sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) termasuklah dengan memberi nasihat teknikal, sokongan pembiayaan dan infrastruktur. Kemudahan bersepadu Glyken ini merangkumi pejabat utama Glyken, pusat pembersihan dan pemprosesan sarang burung walet mentah, pusat pengeluaran minuman botani sarang burung walet, serta pusat penyelidikan dan pengeluaran peptida glikonanoprotein daripada sarang burung walet”.

“Melalui pusat bersepadu yang bernilai RM6.6 juta ini, Glyken dapat menjalankan penyelidikan berterusan di samping menyepadukan teknologi Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0) dengan aplikasi bioteknologi dalam proses pembuatan. Dengan ini, Glyken mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 10 jenis produk berasaskan sarang burung walet seperti sarang burung mentah, ekstrak peptida glikonanoprotein, minumum botanikal sarang burung longan dan ginseng, serta  minuman kopi, matcha, mocha dan teh yang diperkaya dengan ekstrak peptida  glikonanoprotein. Semua produk ini dianggarkan bernilai sejumlah RM 25 juta setahun tambah YB Menteri.

Dengan elemen kebolehkesanan dan kelestarian dalam perniagaan, proses dan produknya, Glyken memastikan bahawa setiap langkah pengeluaran adalah telus dan lestari. Ini meningkatkan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk berasaskan sarang burung walet dan seterusnya bakal menyokong pertumbuhan industri ini di Malaysia ke arah mencapai sasaran pasaran eksport sebanyak 350,000 kilogram yang bernilai RM2.8 bilion menjelang tahun 2030,” kata Tuan Chang Lih Kang semasa majlis perasmian kemudahan Glyken di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Glyken juga telah melancarkan platform pemasaran berasaskan kod QR untuk mikro-keusahawanan yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehcapaian produk Glyken kepada pelanggan serta melahirkan usahawan pada pelbagai peringkat dengan sokongan teknikal dan jualan daripada pasukan pemasaran Glyken.

Pengerusi Bioeconomy Corporation, YBhg Dato’ Dr. Lee Boon Chye berkata bahawa platform mikro-keusahawanan itu dijangka akan menarik sekurang-kurangnya 500,000 pengguna menjelang akhir tahun 2024 yang menggalakkan lebih ramai individu untuk menyertai arena keusahawanan dalam industri bioteknologi secara digital. “Selain itu, penubuhan pusat bersepadu Glyken juga mencipta peluang pekerjaan baru, terutamanya pekerja berkemahiran tinggi dan separa mahir di kalangan rakyat Johor. Pusat Glyken ini dijangka akan mencipta peluang pekerjaan untuk sekurang-kurangnya 500 pekerja dalam tempoh 10 tahun, yang dapat merancakkan industri sarang burung walet di Johor di samping meningkatkan keupayaan industri bioteknologi negara,” tambah beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Glyken, En Erik Shak berkata, “Sokongan daripada pihak MOSTI dan Bioeconomy Corporation telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan Glyken International, terutamanya dalam pembangunan produk dan pendedahannya melalui pelbagai platform tempatan dan antarabangsa. Sokongan ini bukan hanya memberi manfaat kepada Glyken, tetapi juga akan membawa industri sarang burung Malaysia menuju pendekatan ‘deeptech’.”

 Melalui bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh Bioeconomy Corporation, Glyken telah berjaya memajukan keupayaan R&D dan pengkomersialan melalui anak syarikat mereka iaitu Glyken Bio-Products Sdn Bhd. Glyken Bio-Products dianugerahkan status BioNexus oleh Bioeconomy Corporation, di mana syarikat itu diberikan sokongan dan insentif-insentif khas seperti kemudahan Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, dan Inovasi (R,D,C&I) sehingga Glyken dapat membangunkan produk-produk baru menggunakan ekstrak peptida glikonanoprotein daripada sarang burung walet dan seterusnya menubuhkan pusat bersepadu baru ini.