Corporate

Investment

Entrepreneur Development

Funding

Talent Development

NBiOSHOWCASE 2024 Menampilkan Inovasi Bioteknologi Malaysia Menuju Pasaran Global Dengan Kerjasama Quintuple Helix

Kuala Lumpur, 18 Julai 2024– YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menggesa syarikat-syarikat bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia untuk bekerjasama melalui pendekatan quintuple helix bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global sambil meningkatkan kapasiti teknologi tempatan. Pendekatan itu yang melibatkan kerjasama erat antara pihak kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil dengan mengutamakan penjagaan alam sekitar, dapat memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan industri bioteknologi di negara ini, seterusnya menempatkan Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi teratas dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang tahun 2025. Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis pertukaran dokumen dan pelancaran produk oleh syarikat-syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) di National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) di World Trade Centre Kuala Lumpur hari ini.

“Melihat kepada kerjasama yang dijalin pelbagai pihak serta produk-produk inovatif yang dilancarkan pada majlis ini, saya yakin kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat Dasar Bioteknologi Negara 2.0, iaitu membangunkan 30% syarikat berstatus BioNexus di peringkat global dan 70% lagi di peringkat tempatan. Sehingga kini, 16 syarikat bioteknologi telah disenaraikan di bursa saham Malaysia, Taiwan, Nasdaq, Hong Kong, dan Australia. Melalui sokongan padu dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama agensinya, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), usaha-usaha akan diperhebatkan lagi untuk menjayakan kerjasama quintuple helix di kalangan penggiat industri bioteknologi seterusnya membantu lebih banyak syarikat bioteknologi mencapai kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” tambah beliau.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Encik Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, antara Januari hingga Mei 2024, syarikat-syarikat yang diluluskan di bawah program BBA, berstatus BioNexus dan syarikat berimpak tinggi telah menjana jumlah pendapatan bernilai RM1.5 bilion. “Ini membuktikan kemampuan tinggi syarikat bioteknologi Malaysia dalam merealisasikan pembangunan ekonomi melalui pasaran tempatan dan global. Melalui sokongan MOSTI, Bioeconomy Corporation akan terus mengambil pendekatan yang proaktif untuk membantu lebih banyak syarikat bioteknologi menembusi pasaran yang lebih luas dan mencapai matlamat sumbangan pendapatan sebanyak RM2 bilion kepada KDNK negara menjelang akhir tahun 2024,” tambah beliau.

Dalam majlis tersebut bersempena NBiOSHOWCASE 2024, YB Tuan Chang Lih Kang telah menyaksikan pertukaran lima dokumen kerjasama antara penggiat-penggiat industri bioteknologi. Lima kerjasama strategik ini meliputi pembuatan baja bio pertama dengan penekanan kepada pengiraan karbon dan amalan kelestarian oleh IBG Manufacturing dan Xiamen University Malaysia, pembinaan hab kosmetik dan farmaseutikal serta kemudahan penyelidikan dan pembuatan GMP oleh ATL Cosmetics dan UM Pharmauji, pelaksanaan projek kitar semula dan pengelakan karbon oleh Bioloop dan 99 Speedmart, pembangunan penjagaan kesihatan oleh Bioeconomy Corporation dan MedKad serta pelancaran Program Dana Pengkomersialan Bioteknologi (BCF) baharu oleh Bioeconomy Corporation dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

YB Menteri turut menyaksikan pelancaran lima jenis produk oleh syarikat-syarikat berstatus BioNexus dan BBA, iaitu produk baja bio dari hasil sampingan pembuatan pulpa oleh Nextgreen Global Berhad, jus kelapa isotonik prebiotik dan probiotik oleh Culvita, minuman bijirin dengan ubi keledek ungu dan beri biru, serbuk kering beku kacang soya fermentasi dan tablet yang mengandungi ekstrak tiga jenis cendawan perubatan oleh GoodMorning Global. Nilai jualan yang disasarkan untuk kelima-lima produk ini adalah hampir RM400 juta dalam tempoh 3 tahun akan datang.