Behrang, 26 Disember 2024 – Golongan ibu tunggal di luar bandar berupaya meningkatkan pendapatan keluarga serta menaikkan taraf hidup lebih baik melalui penghasilan yogurt dan kimchi buatan Malaysia yang sihat dan bernutrisi untuk pasaran setempat.Naib Presiden Kanan Bahagian Sokongan Industri, Bioeconomy Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation), Nora Mohamed berkata, penghasilan yogurt dan kimchi berpotensi untuk dikembangkan sebagai perniagaan kerana makanan itu mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat Malaysia masa kini.
Menurutnya, sebagai permulaan Bioeconomy Corporation melalui Program Kembara Komuniti bersama Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) mengumpulkan seramai 35 ibu tunggal yang diberi tunjuk ajar cara menghasilkan dua produk makanan berasal dari luar negara itu.
“Usaha pemberdayaan ibu tunggal dilaksanakan melalui pembelajaran sains yang memfokuskan teknologi penapaian dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penghasilan makanan khususnya pembuatan yogurt dan kimchi.
“Peserta juga diberi pendedahan keusahawanan bagi membolehkan mereka mencipta peluang pendapatan yang mampan,” katanya ketika meninjau program sehari itu di Dewan Orang Ramai Kampung Padang di sini, hari ini.
Program Kembara Komuniti Bersama PITKM turut disertai syarikat berstatus BioNexus, Bio Tree Biotechnology Sdn Bhd selaku penyedia latihan dan Alpro Pharmacy yang mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Peserta diajar mempraktikkan kaedah terbaik menghasilkan yogurt dan kimchi sebagai usaha niaga berskala kecil tanpa mengabaikan nilai pemakanan dan kesihatan.
Nora berkata, program seumpama itu boleh membantu golongan ibu tunggal menghadapi cabaran yang biasa dihadapi dalam keusahawanan seperti had akses latihan dan sumber serta kurang pengetahuan dalam kaedah pengendalian, amalan kebersihan dan keselamatan makanan.
Selain itu, katanya, ia mewujudkan jaringan antara peserta yang sedang meneroka peluang pasaran dan pemain industri yang memupuk hubungan komuniti dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat.
“Kami bercadang memperluaskan program ini ke kawasan lain yang menghadapi cabaran sosioekonomi serupa.
“Kami juga akan meneroka kerjasama dengan lebih banyak syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator untuk meningkatkan ketersediaan sumber dan sokongan kepada peserta,” katanya. Bengkel sehari ini memfokuskan penggunaan bahan segar dan semula jadi seperti sayur-sayuran dan enzim rempah tempatan bagi menjaga keaslian kimchi buatan Malaysia.
Antara bahan utama yang digunakan dalam penghasilan yogurt dan kimchi adalah minuman campuran botani Winheartz Golden Mix, cuka beras perang dan cuka Balsamico yang mana penggunaan bahan ini membantu kefahaman peserta terhadap kepentingan meningkatkan nilai nutrisi dan kualiti produk.
Program Kembara Komuniti bersama PITKM ini selari dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan aspirasi Kementerian Sains dan Teknologi yang mempromosikan pembelajaran berasaskan sains, meningkatkan penerimaan teknologi dalam komuniti serta memupuk inovasi melalui inisiatif keusahawanan.
Pendekatan “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi, Mengarusperdanakan Inovasi” tercermin dalam reka bentuk dan strategi pelaksanaan program ini.