Corporate

Investment

Entrepreneur Development

Funding

Talent Development

15 MOU Bernilai RM1.55 Bilion Dimeterai di National Bioeconomy Showcase 2024

Kuala Lumpur, 18 Julai 2024– Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), En Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) yang dilaksanakan pada 17 & 18 Julai 2024 telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada pelbagai pihak dalam industri bioteknologi yang merancakkan lagi perkembangan industri itu sebagai pemacu ekonomi negara. Dengan tema “Bioekonomi Untuk Semua”, beliau berkata  acara tersebut juga merupakan platform untuk melahirkan masyarakat bio-inovasi seperti yang digariskan di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0.

Beliau berkata majlis itu disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah membuat beberapa pengumuman penting yang utamanya, pengumuman Alps Global Holdings Berhad sebagai unicorn bioteknologi pertama di Malaysia. Perdana Menteri juga telah memberikan suntukan tambahan RM2 juta daripada kerajaan untuk melaksanakan program dalam mengembangkan industri bioteknologi di Malaysia.

Menurut En Khairul, sepanjang dua hari ini, sejumlah 15 memorandum persefahaman bernilai RM1.55 bilion yang melibatkan hampir 30 buah syarikat bioteknologi telah dilaksanakan di NBiOSHOWCASE 2024. MOU ini disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Tuan Chang Lih Kang, dan En Khairul sendiri. Syarikat-syarikat bioteknologi ini merangkumi syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) yang diberikan sokongan dan fasilitasi daripada Bioeconomy Corporation. “Daripada jumlah ini, 4 memorandum persefahaman melibatkan pihak antarabangsa, iaitu Jepun, Singapura, Indonesia dan Kazakhstan.   Ini menunjukkan minat yang tinggi dari pelabur luar negara terhadap potensi dan perkembangan sektor bioteknologi di Malaysia. Kejayaan ini bukan sahaja menggambarkan keyakinan komuniti global terhadap keupayaan industri kita, tetapi juga memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab bioekonomi yang utama di rantau ini,” tambah beliau. Beliau juga berkata NBiOSHOWCASE 2024 juga telah menjadi platform untuk pelancaran 5 jenis produk oleh syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA), dengan sasaran nilai jualan hampir RM400 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

“Bioeconomy Corporation bersama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan bekerjasama dengan lebih erat untuk memaktubkan lebih banyak perjanjian dan persefahaman antara syarikat-syarikat bioteknologi di Malaysia, khususnya dengan syarikat berstatus BioNexus dan BBA.”